Home | Site Map | Search | Contacts
NISER > News > Kafe Siber Wajib Rekod Nama

Kafe Siber Wajib Rekod Nama
9th Disember 1998 (Utusan Malaysia)

Ipoh 8 Dis Semua pengusaha kafe siber di seluruh negara akan diwajibkan merekod nama setiap pelanggan mereka di dalam satu buku berdaftar bagi membendung penyalahgunaan kemudahan teknologi maklumat di situ.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr. Ting Chew Peh berkata, selain nama, pengguna Internet di kafe itu juga mesti mencatatkan nombor kad pengenalan dan alamat tempat tinggal mereka.

Menurutnya, langkah itu adalah permintaan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mahukan satu bentuk pengawalan di lakukan terhadap kafe siber bagi membendung penyebaran maklumat berbentuk fitnah dan akses ke laman lucah.

KDN menerima banyak aduan daripada orang ramai mengenai salah guna kafe siber tetapi sukar untuk menyiasat dan bertindak kerana pengusaha terbabit tidak menyimpan rekod pelanggan mereka.

Justeru KDN meminta kementerian ini membantu mengawal selia kegiatan itu dengan merekod maklumat pelanggan, katanya kepada para pemberita selepas melawat pasar awam Simpang Pulai dekat sini hari ini.

Pada masa ini, penggunaan Internet di kafe siber boleh dilakukan secara bebas tanpa sebarang kawalan dan kafe seperti itu kini tumbuh bagai cendawan selepas hujan ekoran sambutan hangat orang ramai.

Ting berkata, surat pekeliling mengenai perkara itu telah dikeluarkan kepada semua setiausaha kerajaan negeri pada awal bulan ini dan mereka kemudiannya akan mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) mewujudkan buku rekod itu.

Arahan itu berkuat kuasa serta merta terhadap pengusaha yang baru manakala bagi pengusaha sedia ada, mereka akan diwajibkan menyediakan buku itu apabila memperbaharui lesen perniagaan mereka,katanya.

Beliau berkata, rekod penggunaan Internet itu akan diperiksa dari semasa ke semasa oleh PBT dan polis bagi membantu membendung anasir tidak sihat yang menjadikan kafe siber sebagai pusat operasi.

Katanya, pengusaha yang gagal menyediakan buku rekod itu tidak akan diperbaharui lesen perniagaan mereka.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya kini sedang mengumpulkan maklumat dari setiap negeri megenai kafe siber bagi mengkaji kemungkinan mewujudkan undang-undang seragam mengenai kafe itu di seluruh negara pada masa depan.

Katanya, pada masa ini, selain tiada undang-undang seragam, kafe siber juga tidak tertakluk di bawah Enakmen Hiburan di negeri-negeri, sebaliknya ia boleh beroperasi setelah mendapat lesen premis dan lesen perniagaan dari kerajaan negeri dan PBT.


Disclaimers and copyright information