Home | Site Map | Search | Contacts
NISER > News > Rahsia Kepala E-mel

Rahsia Kepala E-mel
6th January 1999 (Komputer)

Kepala adalah bahagian utama struktur e-mel. Ia akan memberitahu anda dari mana asalnya, bagaimana ia dihantar dan bila. Ia dirujuk sebagai tanda pos. Biasanya melalui internet, kandungan e-mel akan melalui beberapa jalan sebelum sampai ke destinasi sebenar. Dengan itu, maklumat tersebut penting untuk mengesan asal-usul e-mel itu.

Perhatikan tiga kepala e-mel di bawah. Ia menunjukkan kepala sebenar dan bagaimana perjalanan e-mel merenatsi rangkaian jaring.

  1. Received: from relay13.jaring.my (relay13.jaring.my(192.228.128.124)) by ace.cdc.abu.com (8.7.1/8.7.1) with ESMTP id KAA18533 for <>; Fri, 8 May 1998 10:08:01

  2. Received: from hole.com (j19.kch18.jaring.my(161.142.54.153)) by relay13.jaring.my (8.8.8/8.8.7) with SMTP id KAA21792 for <>; Fri, 8 May 1998 10:05:21 +0800 (MYT)

  3. Received: by hole.com with Netscape Mail id <01 >; Fri, 8 May 1998 10:03:23 +0800 Message-ID; 01

Kepala pesanan e-mel membolehkan Jaring mengesan akaun penghantar (jika diperlukan), walaupun si penghantar telah mencuba untuk memalsukan alamat tersebut. Kepala ini, dihantar oleh penghantar, memaparkan tiga (3) tanda pos. Melalui maklumat ini saja MIMOS boleh mengesan alamat sebenar penghantar walaupun cubaan dibuat untuk memaparkan alamat penghantar palsu.

  1. Tanda pos pertama ialah melalui Jaring. Tanda ini dapat mengenal pasti bahawa pesanan tersebut mengambil jalan menerusi sistem relay13 dalm perjalanan menuju ke kotak mel untuk .

  2. Tanda pos kedua turut dihasilkan dari sistem dalaman Jaring dan menyatakan bahawa akaun e-mel penghantar, hole.com, adalah palsu. Kepala e-mel menunjukkan nombor IP sebenar, iaitu dalam kurungan, j19.kch18.jaring.my yang menunjukkan dari mana pesanan dihantar.

  3. Tanda pos ketiga dijana oleh komputer penghantar itu sendiri. Kandungannya tidak boleh dipercayai.

Hormati hak pelanggan

Perlu ditekankan bahawa MIMOS biasanya tidak menjejaki atau mengesan penghantar e-mel. Jaring mengendalikan hampir setengah juta e-mel setiap hari. Lagipun MIMOS sentiasa akan menghormati dan mempertahankan hak privasi pengguna Internet. Namun demikian, MIMOS akan menjejaki e-mel sekiranya menerima aduan dari pengguna atau pihak berkuasa seperti polis.

Penjejakan e-mel hanya akan dibuat sekiranya MIMOS menerima bahan bukti dalam bentuk kepala lengkap e-mel yang hendak dikesan. Bahagian badan e-mel tidak penting. Hasil pengesanan tidak akan dimaklumkan kepada sesiapa, kecuali pihak berkuasa yang membuat permintaan. Sekiranya pelanggan didapati menyalahgunakan kemudahan e-mel, MIMOS berhak menamatkan akaun pelanggan berkenaan atau mengambil tindakan undang-undang sewajarnya jika berpatutan.

Bagaimanapun, MIMOS hanya boleh mengesan e-mel yang berasal daripada rangkaian Jaring saja. Bagi e-mel lain, bantuan diperlukan dari penyedia perkhidmatan Internet (ISP) lain yang beroperasi di Malaysia dan luar negara. Perlu disebut bahawa MIMOS tidak terlibat dengan e-mel dalaman sesebuah organisasi-sama ada, pelanggan Jaring atau tidak.

Kes sebaran e-mel palsu

Adakah para pembaca masih ingat berkenaan kes penyebaran maklumat palsu menggunakan e-mel sedikit masa dahulu? Maklumat melalui e -mel tersebut mengandungi berita palsu kononnya Kuala Lumpur, khususnya sekitar Chow Kit, akan berlaku kekacauan membabitkan pendatang Indonesia.

Akhirnya pasukan khas polis yang menyiasat penyebaran khabar angin melaui Internet kononnya berlaku rusuhan di Kuala Lumpur itu, membuat beberapa tangkapan. Tindakan itu dibuat selepas polis berasakan khabar angin itu menggugat ketenteraman dan kehidupan rakyat negara ini.

Salah satu bukti penting terhadap kes skandal seks antara Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton dan Monica Lewinsky ialah melalui e-mel. E-mel Bill Gates, pengasas Microsoft, pula menjadi tumpuan dalam perbicaraan antimonopoli terhadap pihak berkenaan. Jangan disangka bahawa kandungan e-mel tidak boleh dijadikan bahan bukti di mahkamah.

Kandungan e-mel seperti juga surat biasa akan terikat kepada undang-undang sebagai bahan bukti. Tiga contoh di atas menunjukkan bahawa kandungan e-mel yang dihantar boleh dijadikan bahan bukti sesuatu kes yang dibicarakan.

Bagaimana e-mel yang agak lama dapat dikesan, seperti kes Bill Clinton dan Monica Lewinsky? Pihak pakar telah mencari komputer lama yang sudah tidak digunakan lagi bagi mengesan e-mel dalam format yang sudah tidak dipakai lagi. Walaupun kandungan e-mel tersebut telah dibuang di komputer penghantar dan penerima, ia masih lagi tersimpan dalam sistem komputer sebuah syarikat, hanya menunggu pihak pakar mencarinya.

Jangan salah guna kemudahan

Penyalahgunaan Internet, termasuk e-mel, memberi imej tidak baik kepada jaringan komputer di Malaysia. Walaupun demikian, isu ini sebenarnya lebih tertumpu kepada masalah budaya di kalangan masayarakat kita. Secara kasar, golongan terbabit boleh dibahagikan kepada dua kumpulan pengguna.

Satu pihak sudah biasa dengan internet, tahu batas, baik dan buruknya serta dapat menilai sesuatu perkara dengan seimbang dan rasional. Dari pihak lain pula, ada kumpulan yang baru terdedah kepada Internet atau hanya mengetahui di sebalik Internet. Golongan ini menganggap apa yang didapati melalui Internet sebagai kebenaran mutlak. Pihak kedua ini lebih terdedah kepada risiko untuk mengambil tindakan yang kurang rasional dan mereka ini memerlukan lebih banyak pendedahan.

Pengguna e-mel diingatkan supaya dapat membezakan antara pendapat dan fakta. Internet dan e-mel mempunyai etika dan budaya yang harus diikuti semasa berkomunikasi. Melalui kematangan menggunakan Internet, barulah teknologi ini kita dapat gunakan dengan sebaiknya.

Web Sutera


Disclaimers and copyright information