Home | Site Map | Search | Contacts
NISER > News > Batalkan Tapis Internet - Arahan Perdana Menteri Kepada Kabinet

Batalkan Tapis Internet - Arahan Perdana Menteri Kepada Kabinet
16th March 1999 (Utusan Online)

KUALA LUMPUR, 16 Mac - Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mengarahkan kabinet supaya membatalkan sebarang usaha bagi membentuk penapisan Internet.

Perkara tersebut telah dinyatakan oleh Dr. Mahathir kepada Pengerusi Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDC) Tan Sri Dr. Othman Yeop Abdullah.

Menurut Dr. Othman, Perdana Menteri memberikan arahan khas bahawa tiada sebarang penapisan dalam Internet.

''Itu adalah pendirian kerajaan,'' katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, Perdana Menteri mengesahkan janji dalam Rang Undang-Undang Jaminan minggu lalu bahawa tiada sebarang penapisan bagi Internet.

Berdasarkan kepada maklum balas daripada industri teknologi maklumat (IT), cadangan oleh kerajaan tempatan meminta pengguna mendaftar di cyber cafe, sedikit sebanyak dianggap sebagai satu bentuk penapisan.

''Saya memaklumkan kepada Perdana Menteri mengenai perkara ini pada Jumaat lalu dan beliau berkata ia adalah sesuatu yang kita tidak sepatutnya terima. Beliau dengan segera mengarahkan amalan itu diberhentikan,'' kata Dr. Othman.

Pada sidang akhbar itu, Dr. Othman turut menolak dakwaan media Barat yang menyatakan pembangunan Koridor Raya Multimedia (MSC) mengalami kegagalan.

Sebaliknya, menurut beliau, pelaksanaan kawasan pembangunan multimedia itu sedang giat dijalankan dan memperoleh momentumnya.

''Sehingga 12 Mac, 203 syarikat telah diberikan status MSC di mana 29 daripadanya adalah syarikat bertaraf dunia,'' katanya bagi menyangkal satu artikel negatif yang bertajuk Mahathir Hi-Tech Folly yang bakal disiarkan dalam majalah Business Week keluaran 22 Mac ini.

Dr. Othman berkata, pihaknya sangat berpuas hati dengan kemajuan MSC yang dibuat setakat ini dan perbadanan itu merancang menarik 50 syarikat bertaraf dunia untuk menyertainya menjelang tahun 2003.

''Kita mempunyai tempoh tiga tahun lagi tetapi kita telahpun berjaya menarik lebih separuh daripada syarikat-syarikat bertaraf dunia itu,'' tambahnya.

Beliau memberitahu, pihaknya ketika ini sedang menilai sembilan syarikat bertaraf dunia yang mahu menjadi sebahagian daripada MSC.

Beliau berkata, 139 syarikat yang diberikan status MSC sudahpun beroperasi dengan unjuran pelaburan bernilai RM1.193 bilion tahun ini.

Daripada jumlah itu, 40 syarikat beroperasi dalam kawasan MSC manakala 99 syarikat lain telah memberi jaminan mereka akan memindahkan operasi ke kawasan MSC itu dalam tahun ini juga, katanya.

Syarikat-syarikat tersebut diunjurkan meraih kombinasi pendapatan kira-kira RM4.002 bilion dan keuntungan kira-kira RM600 juta tahun ini, tambah Dr. Othman.

Mengenai kadar permohonan syarikat-syarikat yang memohon status MSC, beliau berkata, tiada rahsia dari segi permohonan. Beliau menambah, sehingga 12 Mac, MDC telah menerima sejumlah 275 permohonan.

Syarikat-syarikat itu juga mengunjurkan untuk mengambil 9,168 pekerja tempatan tahun ini.

Ditanya kemajuan Cyberjaya, beliau berkata, pembukaannya akan dibuat pada Julai ini, enam bulan lebih awal berbanding jangkaan sebelum ini.

Mengenai kadar akses Internet di Malaysia yang didakwa paling tinggi di dunia, Dr. Othman berkata, dakwaan itu tidak tepat sama sekali kerana kadar akses Internet di negara ini adalah rendah berbanding kadar yang dikenakan oleh negara-negara lain termasuk Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah.

Ketika ditanya sama ada MDC akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penerbitan artikel yang dianggap lari dari konteks dan tidak adil itu, beliau berkata, tiada sebarang tindakan akan diambil.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya telah menghubungi ketua pengarang majalah itu agar memperbetulkan kesilapan dan ketidakfahaman penulis majalah itu yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Sementara itu, beberapa pemimpin syarikat bertaraf dunia dan syarikat tempatan berstatus MSC turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap laporan negatif media Barat itu mengenai MSC.

Syarikat-syarikat terbabit ialah Microsoft, Sun Microsystems, IBM, BizTone Sdn. Bhd. dan NetCard Sdn. Bhd. yang mendakwa penulis artikel itu telah membuat laporan yang bercanggah dengan pendapat mereka.

Bagi menafikan dakwaan Business Week itu, syarikat -syarikat terbabit yang turut dikaitkan dalam majalah tersebut telah menyuarakan sokongan mereka terhadap pembangunan MSC.


Disclaimers and copyright information