Home | Site Map | Search | Contacts
NISER > News > Pakar Sokong Sekat Perbualan Internet

Pakar Sokong Sekat Perbualan Internet
30th March 1999 (Berita Harian)

KUALA LUMPUR, Isnin - Pakar komputer tempatan menyifatkan tindakan menyekat pengguna Malaysia melayari saluran perbualan menerusi Internet - Internet Relay Chatting (IRC), sebagai wajar.

Ini bertujuan mengelak kemudahan itu disalahgunakan, terutama untuk memaki-hamun, mencarut dan menyebarkan fitnah.

Seorang pakar komputer yang enggan namanya disiarkan, berkata dakwaan pentadbir tapak IRC bahawa pengguna Malaysia tidak berdisiplin dan tidak beretika ketika menggunakan kemudahan Internet memang tepat.

"Ini mungkin ada kaitan dengan cara masyarakat kita yang bersikap tidak kisah dengan undang-undang dan peraturan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau mengulas langkah satu daripada pembekal atau pelayan IRC, Dalnet, yang menyekat pengguna Malaysia daripada menggunakan perkhidmatan itu berikutan sikap pengguna negara ini yang disifatkan sebagai lucah dan mengganggu ketenteraman pengguna lain.

Kemudahan atau perisian IRC adalah antara perisian paling popular di Internet. Ia digemari kerana lebih mudah dikonfigurasi berbanding perisian Internet lain.

Bagi pengguna Internet yang mempunyai perisian ini, mereka hanya perlu menyambungkan ke rangkaian pelayan IRC yang sudah disediakan seperti undernet, efnet dan dalnet.

Dua penyedia perkhidmatan Internet di negara ini ialah Mimos Bhd yang mempunyai kira-kira 170,000 pelanggan bagi perkhidmatan Jaring dan Telekom Malaysia Bhd dengan perkhidmatan TMNet yang mempunyai lebih 200,000 pelanggan.

Walaupun Malaysia bukan pelanggan terbesar kepada Internet, tetapi rakyat negara ini yang melanggan dengannya menggunakannya secara kerap.

Statistik menunjukkan kira-kira 900,000 rakyat Malaysia mendaftar dengan Hotmail, perkhidmatan e-mail percuma yang berpangkalan di Amerika Syarikat yang kini menjadi milik penuh Microsoft, sejak perkhidmatan itu diperkenalkan pada pertengahan 1996.

Statistik itu menjadikan Malaysia sebagai negara keempat atau kelima terbesar yang mempunyai kumpulan pengguna Hotmail yang berdaftar di dunia.

Yahoo mendakwa kumpulan pengguna Malaysia adalah pengguna Yahoo yang terbesar di Asia, mendahului Jepun. Geocities, Xoom dan Tripod adalah tiga tapak web Amerika yang mempunyai berpuluh-puluh ribu pelanggan Malaysia.

Jurucakap Dalnet, Sven Nielsen, melalui pesanan dalam laman webnya, berkata syarikatnya mengenal pasti ramai pengguna yang disenaraihitamkan, menjadikan pengguna Malaysia bukan satu-satunya pengguna yang tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, walaupun pelbagai langkah diambil bagi menangani perbuatan itu, masih ada pengguna yang mampu melepaskan diri.

Tapak perbualan web Alamak, yang dikendalikan Eclamation Inc berpangkalan di Amerika Syarikat, menyifatkan tapak yang mempunyai unsur lucah, iklan yang dipapar secara tidak bertanggungjawab serta mempunyai ciri mempengaruhi orang ramai dengan maklumat yang munasabah perlu dipulaukan.

Syarikat itu yang turut menyokong pendapat yang dibuat secara bebas, bagaimanapun menyedari perlunya satu peraturan bagi membolehkan pengguna boleh berbual secara sihat tanpa diganggu oleh bahasa kesat.

"Kami tidak membataskan hak kebebasan bersuara dan mereka yang berbual menerusi Internet mahukan kebebasan itu," menurut dasar yang digariskan oleh Saluran Perbualan Alamak.

Sementara itu, Pengurus Komunikasi Korporat Mimos Bhd (pengendali rangkaian Jaring), Ravindran Raman Kutty, berkata pihaknya sentiasa mengawasi penyalahgunaan kemudahan Internet, termasuk menyebarkan khabar angin.

"Kami boleh mengesan pihak yang menyalahgunakan kemudahan itu. Mereka yang terbabit akan diberi amaran malah akaunnya akan digantung.

"Bagi kes yang lebih serius, kita akan menamatkan akaun mereka. Ini pernah dilakukan," katanya.

Pensyarah Jabatan Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Md Shuaib Che Din, berkata golongan yang suka mencarut, baik melalui Internet mahu pun saluran lain seperti contengan di tandas, adalah mereka yang tidak beretika, tidak bermoral dan pengecut.

"Mereka ini adalah penakut paling besar dan berpura-pura kerana hanya pandai memaki-hamun di belakang atau secara bersembunyi," katanya sambil menegaskan perbuatan itu didorong perasaan marah, geram dan rasa tidak puas hati.

Menurutnya, setiap orang mempunyai perasaan marah, geram dan rasa tidak puas hati tetapi tidak semua orang mengambil langkah serupa untuk meluahkannya.

Beliau berkata, sikap itu mempunyai kaitan rapat dengan didikan, yang menentukan perlakuan seseorang.

"Jika seseorang itu mendapat didikan moral dan agama yang mencukupi, beliau pasti tidak akan berbuat demikian walaupun ketika marah. Mereka tahu perbuatan buruk, baik, dosa dan pahala," katanya.

Ketua Pengarang Berita The Star, Chua Yew Kay, berkata Internet terlalu besar sehingga sukar untuk dibezakan di antara yang baik dan buruk. Tambahan pula, pihak berkuasa tidak boleh mewujudkan dasar sendiri, kerana kerajaan membenarkan kebebasan bersuara menerusi Internet.

"Kita terpaksa berhadapan dengan keadaan di mana terdapat pihak yang menyalahgunakan kebebasan itu," katanya.

Ketua Pegawai Teknologi, Patimas Computers Bhd, Johan Ismail, berkata kelemahan yang berlaku di negara ini ialah kekurangan latihan penggunaan komputer secara beretika.

"Tiada gunanya jika kita hanya mengajar teknologi komputer tanpa menitikberatkan mengenai etika kerana kedua-dua unsur itu perlu selari bagi melahirkan pengguna yang bertanggungjawab," katanya.


Disclaimers and copyright information