Home | Site Map | Search | Contacts
NISER > News > Akta Komunikasi, Multimedia Dilancar

Akta Komunikasi, Multimedia Dilancar
1st April 1999 (Berita Harian)

PETALING JAYA, Rabu - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi malam ini melancarkan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dengan menegaskan bahawa kemampuan menguasai teknologi maklumat serta komunikasi, menjadi penentu pembangunan ekonomi negara.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Malaysia mempunyai masa depan dan peluang menjadi pusat komunikasi dan multimedia utama di dunia, dan saiz negara yang kecil bukan suatu perkara penting ke arah mencapai matlamat itu.

Beliau meminta penggubal dasar mewujudkan persekitaran dasar awam yang menggalakkan pembangunan industri komunikasi dan multimedia serta memudahkan peningkatan pasaran elektronik, yang memiliki potensi dagangan serta pelaburan tidak terhad.

"Cabaran yang kita hadapi mendesak supaya penggubal dasar bersifat inovatif dan dinamik. Kita perlu bersaing di peringkat antarabangsa dengan yang terbijak dan terbaik.

"Pada bahu penggubal dasar, terletak tanggungjawab bagi memastikan rakyat Malaysia diberi peluang dan insentif menggunakan secara bijak peralatan baru zaman informasi," katanya.

Di majlis itu, beliau turut melancarkan perayaan ulang tahun ke-20 Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia dengan merakamkan pesanan khas, yang akan dibuka pada 2020.

Turut hadir Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Leo Moggie; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak serta tokoh multimedia tempatan.

Abdullah berkata, pelancaran akta baru itu bukan menjadi matlamat terakhir kerajaan ke arah membangunkan industri multimedia.

Beliau menegaskan langkah selanjutnya memerlukan semua industri berkenaan bergerak bersama membina suatu persekitaran perundangan yang komprehensif lagi dinamik.

"Garis panduan, peraturan, kod dan lain-lain keperluan kawal selia yang kita perkenalkan hari ini perlu untuk membolehkan kita bergerak ke hadapan," katanya.

Abdullah yang yakin terhadap masa depan industri multimedia dan komunikasi di negara ini, mahu penggubal dasar mempunyai visi, kebijaksanaan, perancangan yang baik serta kreatif untuk menghadapi cabaran masa depan.

Justeru, beliau menyarankan pewujudan produk serta perkhidmatan baru selaras penekanan kerajaan ke arah membangunkan sektor berkenaan.

Menurut beliau, produk dan perkhidmatan baru boleh diwujudkan dalam bidang pendidikan, hiburan, maklumat, kesihatan serta bidang lain, sambil mengekalkan sistem nilai serta identiti tempatan.

"Identiti nasional kita adalah satu-satunya sumber yang amat penting, mengikat dan menyatupadukan kita untuk melangkah bersama menghadapi dunia yang sentiasa berubah," katanya.

Bagi sektor industri pula, Abdullah menyarankan sektor itu membekalkan produk yang melepasi sempadan pendidikan serta latihan yang menggalakkan gaya kerja zaman komunikasi.

"Kita perlu bermula hari ini untuk mewujudkan generasi pembina negara yang kaya maklumat, pintar teknologi dan berpandangan antarabangsa serta lengkap dengan kepaka-ran perniagaan," katanya.


Disclaimers and copyright information