Home | Site Map | Search | Contacts
NISER > News > Internet Pelajar Diawasi Setiap 15 Minit

Internet Pelajar Diawasi Setiap 15 Minit
11th April 1999 (Utusan Online)

SEKALIPUN tiada sebarang bentuk penapisan di kafe siber pada masa ini, pengusaha premis berkenaan tetap mengambil inisiatif memantau kegiatan para pengunjung yang melayari Internet, terutama golongan pelajar.

Kakitangan Kanan di Master-World SurfNet Cafe, Chua Thiam Kiat berkata, kakitangannya diarahkan meninjau kegiatan para pengunjung terutamanya pelajar setiap 15 minit sekali bagi memastikan tiada sebarang penyalahgunaan kemudahan Internet di kafe siber.

"Malah, saya sendiri turut mengadakan pemantauan apabila perlu, terutamanya apabila lebih ramai pengunjung berada di kafe siber.

"Sekiranya kami dapati juga para pelanggan melihat bahan-bahan pornografi atau menulis mesej berunsur fitnah, kami akan menasihati mereka supaya meninggalkan laman tersebut dengan segera,'' katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr. Ting Chew Peh baru-baru ini mengarahkan pihak berkuasa tempatan supaya membatalkan cadangan yang menghendaki pengguna mendaftar di kafe siber sebagai satu bentuk penapisan.

Chua bagaimanapun menyokong pendapat Pengerusi Jawatankuasa Perbandaran dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak, Datuk Chang Ko Youn supaya para pengusaha kafe siber mendaftarkan maklumat para pelanggan dan pengunjung kafe siber masing-masing.

Buku rekod pelanggan yang mengandungi nama, nombor kad pengenalan, alamat, tujuan dan umur boleh digunakan bagi mengesan individu yang bertanggungjawab sekiranya kafe mereka didapati terlibat di dalam kegiatan jenayah siber.

Jenayah yang dimaksudkan ialah seperti memindah terima atau menghantar e-mel bahan-bahan lucah kepada orang lain.

Malah, katanya, mereka memang mengambil berat perkara itu dengan merangka sendiri peraturan mengenai perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh para pengunjung.

Antaranya, para pengunjung dilarang keras mempamerkan sebarang bahan yang bertentangan dengan norma-norma masyarakat negara ini atau lain-lain perkara yang dilarang dari segi undang-undang melalui Internet atau komputer di dalam premis perniagaan.

Menurutnya, jumlah kafe siber di negara ini adalah lebih banyak berbanding di negara-negara lain yang hanya mempunyai satu atau dua premis sahaja yang menawarkan perkhidmatan berkenaan.

"Keadaan ini disebabkan jumlah pemilik komputer di negara ini adalah kecil memandangkan mereka kurang mampu untuk membelinya berbanding di negara lain seperti di Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Australia.

"Dalam pada itu, jumlah penyedia perkhidmatan Internet (ISP) tempatan setakat ini hanya terhad kepada dua iaitu Jaring oleh MIMOS dan TM Net (Telekom Malaysia),'' katanya.

Tambahan pula, kos untuk mengakses Internet di kafe siber adalah lebih murah berbanding untuk tujuan yang sama di rumah.

Ini disebabkan, kafe siber hanya dibuka dalam jangka masa tertentu sahaja sedangkan apabila di rumah, seseorang pengguna yang ketagih 'berborak' (chat) boleh melayari Internet.

"Di rumah, mereka boleh menggunakan Internet tanpa kawalan sehingga pukul 2 hingga 3 pagi.

"Ini juga mengakibatkan bil telefon meningkat secara mendadak,'' katanya.

Sementara itu, seorang bapa yang bekerja sebagai pemandu teksi di ibu kota, Ahmad Abdullah ketika ditanya pendapatnya mengenai kafe siber berkata, beliau tidak bimbang dengan aktiviti anaknya yang banyak menghabiskan masa di tempat tersebut.

"Ibu bapa tidak perlu bimbang penglibatan anak-anak di kafe siber sekiranya 'pertahanan dalaman' mereka dari segi didikan agama mencukupi.

"Anak yang terdidik sudah tentu akan membuat perhitungan yang waras sebelum melakukan sesuatu perkara,'' ujarnya.

Sekiranya ibu bapa mengambil berat didikan agama anak -anak mereka sejak awal lagi, mereka (ibu bapa) tidak perlu dihimpit kebimbangan, kata Ahmad Abdullah.


Disclaimers and copyright information