Home | Site Map | Search | Contacts
NISER > News > Internet: Guru Perlu Awasi Pelajar

Internet: Guru Perlu Awasi Pelajar
14th Mei 1999 (Utusan Online)

GURU harus memainkan peranan penting mengawasi pelajar agar tidak menjadikan Internet sebagai satu sistem yang boleh merosakkan masa depan mereka. Justeru menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Khalid Yunus, antara cabaran guru masa kini ialah memastikan pelajar menggunakan Internet dengan cara berfaedah dan memastikan mereka tidak mudah terpengaruh dengan maklumat tidak tepat yang terkandung di dalamnya. Menurutnya, tugas itu memang berat terutama apabila pelajar menjadikan kafe siber sebagai pusat penggunaan Internet.

''Memang sukar mengawal kegiatan itu terutama apabila ia dilakukan di luar sekolah.

''Tetapi para guru boleh memainkan peranan mereka sebagai pendidik dengan mengingatkan pelajar bahawa kegiatan itu tidak bermanfaat dan boleh merosakkan masa depan,'' katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian forum bertajuk Cabaran Wartawan Masa Kini, anjuran Persatuan Wartawan Melayu Malaysia (PWM) di Kuala Lumpur baru -baru ini.

Pada majlis itu, pegawai kanan dari akhbar dan stesen televisyen utama tempatan membincangkan tajuk forum itu.

Antara yang hadir ialah Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu (M) Bhd, Sirajuddin Rafia, Ketua Pengarang Berita Bernama, Azman Ujang dan Ketua Pengarang Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd., Abdul Jalil Ali.

Program itu diadakan sempena sambutan Hari Wartawan Malaysia 1999 yang jatuh pada 12 Mei setiap tahun.

Mengulas lanjut isu itu Khalid berkata, guru perlu sentiasa mengingati pelajar mengenai bahaya salah guna Internet.

Katanya, didikan berkesan dan berterusan daripada guru mengenai penggunaan Internet yang betul perlu dilakukan di semua sekolah.

''Pendidikan berterusan itu penting kerana pelajar sentiasa terdedah kepada pelbagai perkara baru di persekitaran dalam dan luar sekolah,'' katanya.

Ditanya mengenai bentuk tindakan terhadap pelajar yang terbukti menyalahgunakan Internet, Khalid berkata, kementerian boleh mengambil tindakan ke atas pelajar yang terbukti sahih terlibat dalam penyalahgunaan Internet.

Sementara itu, Presiden PWM, Che Yazid Othman berkata, persatuan itu kini aktif mengadakan program wartawan masuk desa.

Menurutnya, program pertama diadakan di Sekolah Menengah Teluk Panglima Garang, Banting, Selangor melibatkan 30 pelajar tingkatan dua.

Katanya, program itu bertujuan memberi pendedahan awal kepada para pelajar mengenai cabaran dan kerjaya kewartawanan.

''Program itu diperluaskan ke tempat-tempat lain dan terkini ialah di Terengganu,'' katanya.

Katanya, kejayaan program mendorong Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Terengganu mencadangkan agar bengkel kewartawanan dijadikan kokurikulum di sekolah.


Disclaimers and copyright information