Home | Site Map | Search | Contacts
NISER > News > Kerajaan Kaji Perkenal Akta Perlindungan Peribadi

Kerajaan Kaji Perkenal Akta Perlindungan Peribadi
3rd June 1999 (Utusan Megabait)

Kementerian Tenaga, Telekomunikasi dan Multimedia sedang mengkaji untuk memperkenalkan akta perlindungan data peribadi bagi mempertingkatkan tahap keyakinan rakyat dalam menggunakan teknologi pengkomputeran dalam urusan kehidupan seharian.

Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Halim Shafie berkata, peningkatan aktiviti berkaitan dengan pencerobohan data -data peribadi pengguna boleh meninbulkan kurang keyakinan rakyat untuk menggunakan saluran elektronik dalam urusan mereka.

Katanya, kerajaan sedang mengkaji perkara tersebut dengan mengambil contoh dari negara-negara yang telah melaksanakannya dan akan meyesuaikan undang-undang tersebut dengan negara ini. "Bagaimanapun perkara ini masih dalam peringkat kajian dan kerajaan belum mempunyai suatu rancangan kukuh untuk memperkenalkannya dalam masa terdekat ini", katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Ketua Pengarah Kementerian, Datuk Nuraizah Abdul Hamid merasmikan persidangan perdagangan elektronik(e-dagang) anjuran persatuan Multimedia Interaktif Malaysia(IMA) di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Dr Halim berkata, perkara mengenai perlindungan perlu diberi perhatian untuk meningkatkan aktiviti e-dagang yang boleh mencapai kejayaan jika warga Internet merasa yakin akan keselamatan urusannya apabila menjalankan aktiviti e-dagang.

Sementara itu, Nuraizah dalam teks ucapannya berkata, kerajaan Malaysia menjadi antara peneraju dalam memperkenalkan undang -undang berkaitan dunia siber melalui pengenalan beberapa akta berkaitan dengannya sejak 1997.

Antara akta yang telah diperkenalkan ialah Akta Tandatangan Digital 1997 yang akan mengawal mengenai pengiktirafan dan pengesahan dokumen-dokumen elektronik dari pengirim.

Akta Jenayah Komputer 1997 pula merupakan undang-undang yang memperkenalkan hukuman terhadap penjenayah-penjenayah siber yang melakukan jenayah secara siber dari luar dan dalam negara.

Sementara itu Akta teleperubatan 1997 diperkenalkan untuk membolehkan sistem perubatan secara elektronik dilaksanakan di negara ini dengan berkesan dan pindaan Akta Hakcipta pula untuk perlindungan karya dan ciptaan pengeluar perisian tulin daripada aktiviti cetak rompak.

Akta yang paling utama diperkenalkan untuk meyepadukan teknologi multimedia ialah Akta Komunikasi dan Multimedai 1998 yang diluluskan oleh Perlimen pada Julai 1998 dan dikuatkuasakan pada 1 April 1999.

Penguatkuasaan akta tersebut telah mendorong penubuhan sebuah suruhanjaya iaitu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk mengawasi dan melaksanakan perkara-perkara berkaitan teknologi penyepaduan multimedia.


Disclaimers and copyright information