Home | Site Map | Search | Contacts
NISER > News > MIMOS Pastikan Internet Selamat

MIMOS Pastikan Internet Selamat
7th July 1999 (Berita Harian)

KUALA LUMPUR, Selasa - Mimos Berhad (Mimos) menggunakan sistem rangkaian Internet A-Bone, bagi memastikan perkhidmatan Internet di Malaysia berciri selamat dan berkualiti.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen, berkata melalui sistem itu juga, Mimos menjadi penyedia rumusan terbaik kepada syarikat besar di negara ini untuk berhubungan terus dengan syarikat induk di luar negara.

"Ini berdasarkan kepada keupayaan A-Bone dalam menyediakan sistem hubungan atau komunikasi secara terus atau terkawal di kalangan negara Asia, berbanding penggunaan khidmat melalui Amerika Syarikat, sebelum ini.

"Melalui penggunaan khidmat Internet Amerika Syarikat, kawalan tidak dapat dilakukan dengan sempurna berbanding, Internet A-Bone yang lebih bertumpu kepada kawasan Asia Pasifik.

"Ciri keselamatan penting dalam penyaluran maklumat dan menjadi fakta utama dalam memasuki era ekonomi elektronik," katanya di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Rumusan Internet anjuran Mimos dan Asia Internet Holding Co. Ltd. Turut sama ialah Naib Presiden Pembangunan Teknologi Mimos, Dr Mohamed Awang Lah.

A-Bone adalah tulang belakang rangkaian Internet yang menghubungkan terus negara rantau Asia Pasifik dengan maklumat yang diperlukan tanpa perlu memasuki rangkaian Amerika Syarikat.

Sementara itu, Dr Mohamed berkata A-Bone mampu membantu mengatasi masalah penyaluran maklumat kurang tepat dengan cepat, berbanding penggunaan khidmat Internet di Amerika Syarikat.

"Memandangkan perbezaan masa antara Asia, Amerika Syarikat dan Eropah, khidmat A-Bone berupaya mengatasi masalah penyaluran maklumat dengan cepat.

"Keupayaan ini membuktikan kesungguhan Mimos dalam menyediakan khidmat selamat dan berkualiti kepada pengguna Internet di negara ini," katanya.


Disclaimers and copyright information