Home | Site Map | Search | Contacts
NISER > News > Waspada Amaran Virus Palsu

Waspada Amaran Virus Palsu
21st July 1999 (Berita Komputer)

PENGGUNA komputer diingatkan jangan mempercayai semua mesej amaran virus komputer yang diterima dalam peti mel elektronik (emel) kerana ia mungkin amaran virus yang tidak wujud.

Berpuluh virus palsu atau hoax yang direka dengan nama tertentu dan kesan seperti virus asli disebarkan dalam Internet dengan tujuan menakutkan pengguna. Salah satu virus palsu itu ialah Wobbler, yang dikatakan disebarkan dalam e-mel dengan tajuk "California".

Menurut mesej amaran itu, IBM dan America Online berkata virus Wobbler lebih dahsyat daripada Melissa serta tiada kaedah mengatasinya. Wobbler dikatakan akan menghapuskan semua maklumat dalam cakera keras termasuk merosakkan perisian Netscape Navigator dan Microsoft Internet Explorer.

"Kami mendapati virus Wobbler sebagai satu hoax kerana virus itu tidak wujud," kata Pasukan Petugas Kecemasan Komputer Malaysia (Mycert). "Pengguna diarah tidak mengendahkan mesej berkaitan virus itu serta jangan menyebarkannya kepada orang lain.

"Menghantarkan mesej virus palsu kepada orang lain hanya akan meluaskan sebaran berita virus itu," kata Mycert lagi. Penyebaran berita kehadiran virus, terutama virus palsu, semakin menular dan selepas kerosakan akibat virus asli Melissa dan Chenobyl yang mengkucar-kacirkan banyak sistem di serata dunia.

Kedua-dua virus asli itu disebarkan mengguna e-mel dengan sisipan fail boleh aktif dalam setiap e-mel. Pengguna digalakkan memeriksa kesahihan kewujudan sesuatu virus dengan melawat tapak web Mycert di http://www.mycert.mimos.my atau menghantar e-mel kepada Mycert di untuk mendapat pengesahan.

Mycert ditubuhkan khusus sebagai pusat rujukan dalam menangani masalah berkaitan keselamatan sistem komputer. Mycert turut menegaskan sistem komputer tidak akan dijangkiti virus dengan hanya membuka sesuatu e-mel yang diterima.

"Jangkitan virus berlaku bila pengguna melancarkan fail sisipan boleh aktif (executable) tanpa melakukan imbasan untuk kehadiran virus," kata Mycert. Selain itu pengguna dinasihatkan mendapatkan perisian antivirus dengan senarai terbaru bagi mengesan virus.


Disclaimers and copyright information