Home | Site Map | Search | Contacts
NISER > News > Salah Guna Internet Malukan Negara

Salah Guna Internet Malukan Negara
25th August 1999 (Berita Komputer)

Jika dibiarkan tanpa sebarang tindakan yang tegas, pengguna Internet di negara ini, terutama pengunjung ke tapak web perbualan boleh merosak, memalukan dan menggadaikan nama baik negara di peringkat antarabangsa.

Setelah kes penyalahgunaan tapak web perbualan (IRC) milik Dalnet dan EFnet yang heboh diperkatakn tidak lama dulu, kini Undernet.org (www.undernet.org), dilaporkan menyekat kemasukan 182,300 pengguna laman berkenaan dari Malaysia sejak beberapa bulan lalu kerana melanggar dasar syarikat berkenaan.

Undernet, salah satu daripada tiga syarikat IRC terbesar dunia mendakwa pengguna laman web perbualan dari negara ini menggunakan platform mereka untuk menyamar (menggunakan identiti pengguna lain), merosakkan sistem dengan menghantar puluhan ribu e-mel dan melanggar dasar pengguna yang telah ditetapkan.

Selain itu, Undernet juga mendakwa keselamatan tapak domain tempatan amat rendah yang mana ini akan memudahkan penceroboh sistem komputer (hackers) menceroboh masuk ke dalam sistem rangkaian dan mengawalnya mengikut kemahuan mereka.

Andai benar dakwaan Undernet itu, tindakan segera lagi tegas perlu dilakukan kerajaan, penyedia perkhidmatan Internet (ISP) dan badan bukan kerajaan (NGO).

Jawatankuasa Pembangunan Bandar, Majlis Belia Malaysia (MBM) menyifatkan sekatan ini sebagai "memalukan" dan "mengaibkan" maruah negara.

"Publisiti besar-besaran melalui laman web Undernet.org mengenai sekatan tersebut memberikan gambaran seolah-olah pengguna Internet di Malaysia tidak beretika, tidak bertamadun dan tidak beradab".

MBM turut mendesak Jaring dan TM.NET mengambil tindakan yang perlu dan memberikan kerjasama kepada Undernet.org memandangkan penyalahgunaan Internet yang semakin meningkat.

Kod etka penggunaan Internet yang sedang dirangka oleh pihak berkuasa sebagai garis panduan untuk dipatuhi pengguna Internet di Malaysia.

Ini perlu dilakukan bagi membendung pengguna Internet di negara ini menyalahguna kemudahan yang ada dan mengambil kesempatan terhadap kelonggaran yang ada dalam pelaksanaan undang-undang.

Jika sebelum ini, kerajaan dengan cepat boleh mendakwa penyebar maklumat palsu kerana menyebarkan berita kekacauan di Chow Kit, Kuala Lumpur, maka tiada sebab ia tidak boleh mengambil tindakan serupa.

Sudah diketahui umum, setengah rakyat di negara ini terkenal kerana kemampuan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (P&P) yang tidak bermanfaat dengan mengubahsuai pelbagai kemudahan awam yang disediakan.

Ada kes telefon awam yang diubahsuai supaya panggilan percuma dapat mereka manfaat manakala ada yang memotong tiang telefon kerana didapati terlalu tinggi dan sepadan dengan ketinggian mereka.

Nampaknya penyakit P&P di alam fizikal sudah menjangkit ke alam siber. Mereka terbwa-bawa kebolehan yang tidak bermanfaat itu ke laman web perbualan. Apa faedahnya perbuatan berkenaan kepada individu dan negara?

Bukankah ciptaan Internet termasuk laman web perbualan perlu digunakan bagi kebaikan manusia sejagat. Melalui Internet, maklumat dapat dicapai dengan mudah dan murah, tiada lagi sekatan terhadap pengaliran maklumat manakala proses pembelajaran seumur hidup dapat diamalkan.

Episod ini amat menyedihkan kepada negara. Di saat kita berbangga dengan pencapaian Datuk Mansor kerana keberanian dan ketabahan beliau mengelilingi dunia, rupanya ada sebahagian rakyat gagal menyahut semangat berani beliau.

Adalah lebih baik jika tenaga dan kebolehan berkenaan disalurkan kepada benda berfaedah seperti mencipta produk yang dapat diterima di pasaran tempatan tetapi dalam masa yang sama berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Langkah MBM memperkenalkan Etika Penggunaan Internet (AUP) memang kena pada masanya. AUP mengandungi 14 perkara salah laku penggunaan Internet bertujuan mendidik masyarakat mengenai etika dan kaedah yang betul memanfaatkan Internet bagi menghasilkan natijah positif.

MBM sudah melaksanakan inisiatifnya manakala kerajaan sedang merangka garis panduan yang perlu diikuti pengguna Internet di Malaysia. Apa yang perlu ialah mempercepatkan proses penguatkuasaannya sebagai langkah mencegah lebih ramai pengguna Internet terikut-ikut dengan aktiviti tidak sihat ini.

Tindakan serius dan tegas perlu kerana ia boleh bertindak sebagai penghalang aktiviti berkenaan.

Bukankah mencegah lebih baik daripada mengubati?

Kod Etika Penggunaan Internet

  • menyalurkan bahan haram, lucah, mengancam, menekan, mengugut, menghina, memfitnah atau menabur perasaan benci sesama rakyat;

  • menggalakkan perilaku yang menyebabkan kekacauan dan ketegangan di dalam dan di luar negara serta pelanggaran undang -undang Malaysia dan antara bangsa;

  • menganjur perbuatan yang boleh membahayakan individu, organisasi atau masyarakat keseluruhannya;

  • menghantar iklan tidak dikehendaki dan amalan perdagangan yang mengelirukan;

  • menggalak, membangun dan menjalankan kegiatan haram seperti skim cepat kaya, skim piramid dan surat berantai;

  • melakukan pengeboman mel kepada e-mel; menghantar mesej yang sama kepada banyak kumpulan berita;

  • mamalsukan kepala e-mel;

  • melakukan kegiatan haram seperti mengambil, menyimpan dan mengedar harta intelek, rahsia dan perdagangan barangan yang dilindungi hak cipta;

  • mencerobohi peralatan yang dimiliki individu, kumpulan atau organisasi;

  • menyebabkan gangguan perkhidmatan;

  • memberi maklumat salah kepada sebarang borang atau kontrak;

  • melaksanakan sebarang bentuk pemantauan rangkaian bagi mencuri data;

  • membatalkan penghantaran yang dibuat kepada orang lain kecuali pengendali.




Disclaimers and copyright information