Home | Site Map | Search | Contacts
NISER > News > MIMOS tidak terima aduan Undernet.org

MIMOS tidak terima aduan Undernet.org
25th August 1999 (Berita Komputer)

MIMOS Bhd., penyedia perkhidmatan Internet (ISP) pertama di negara ini menafikan dakwaan bahawa ia enggan memberi kerjasama kepada Undernet.org, syarikat yang menyediakan perkhimatan laman web perbualan.

Naib Presiden Pembangunan Teknologi MIMOS Berhad, Dr. Mohamed Awang Lah, berkata MIMOS Berhad tidak pernah menerima sebarang aduan daripada Undernet.org seperti didakwa pentadbir Undernet.org.

"Kami hanya menerima aduan mengenai masalah pengguna Internet Malaysia dari Undernet.org beberapa hari lalu.

Malah Pasukan Tindakan Kecemasan Komputer (MyCERT) juga tidak pernah mengadakan perbincangan dengan Undernet.org sebelum ini", katanya kepada KOMPUTER minggu lalu.

Katanya, pengharaman kemasukan pengguna Internet Malaysia ke Undernet.org ialah antara taktik yang digunakan penyedia perkhidmatan untuk memaksa ISP mengikuti kehendak mereka.

" Bagaimanapun Mimos akan cuba mnyelesaikan masalah itu dan sedang berbincang dengan pentadbir Undernet.org bagi mencari langkah terbaik menanganinya, " katanya.

Tetapi beliau tidak menyatakan bila perbincangan dengan Undernet.org itu dijangka selesai.

Minggu lalu, Undernet.org, salah satu rangkaian bualan (chat) persendirian terbesar di dunia menyekat pengguna Internet Malaysiamemasuki tapaknya kerana penyalahgunaan rangkaiannya secara berterusan.

Menurut Undernet.org, pelaksanaan sekatan itu disebabkan kegagalan ISP Malaysia mencapai kata sepakat selepas perbincangan selama lebih dua tahun tidak membuahkan hasil.

Undernet.org mendakwa ISP tempatan tidak memberi sebarang jawapan kepada aduannya atau mengambil sebarang tindakan bagi menangani masalah itu.

Penyedia perkhidmatan itu meminta ISP melaksanakan pemantauan ke atas pengguna selain menggunkan alatan tertentu bagi mengatasi masalah salah guna Internet di kalangan pengguna di Malaysia.

Di tapak webnya, Undernet berkata, ia berulang kali menghubungi penyedia perkhidmatan Internet (ISP) Malaysia, JAring dan TMNet, untuk menangani masalah pengguna yang tidak beretika.

Pentadbir Undernet.org menyatakan ia mengadakan perundingan dengan MyCERT bagi menangani masalah pengguna Internet dari Malaysia yang menyebabkan masalah kepada rangkaiannya.

Dr. Mohamed bagaimanapun mengaku masalah itu berpunca dari sebilangan pengguna yang menyalahgunakan kemudahan Internet.

"Sementara Mimos mengambil tindakan terhadap aduan ini, Mimos ingin mengingatkan ahli supaya mematuhi semua peraturan yang ditetapkan oleh mana-mana pihak penbekal perkhidmatan.

Katanya, Mimos tidak akan teragak-agak menggantung atau menamatkan akaun yang didapati disalahguna.


Disclaimers and copyright information