Home | Site Map | Search | Contacts
NISER > News > Badan Penapis Internet Perlu

Badan Penapis Internet Perlu
8th September 1999 (Utusan Malaysia)

KUALA LUMPUR 7 Sept. - Satu badan penapisan di peringkat global diperlukan bagi mengawal kandungan Internet memandangkan kawalan ke atasnya sukar dikendalikan oleh kerajaan sesebuah negara. Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Leo Moggie berkata, berbanding media elektronik, kawalan ke atas kandungan Internet dan penyiaran satelit bukan suatu yang mudah memandangkan ia lebih bersifat terbuka.

Menurut beliau, adalah menjadi tanggungjawab penyedia perkhidmatan saluran Web dan juga pembekal perkhidmatan Internet (ISP) untuk mengawal dan menapis kandungan Internet terutama yang bersifat pornografi.

''Kerajaan mempunyai tugas untuk melindungi orang awam daripada menerima kandungan yang tidak sihat berdasarkan kepada polisi dan moral masyarakat awam.

''Bagaimanapun, untuk Internet dan penyiaran satelit, risiko terdedah kepada masalah ini berterusan dan sukar dikawal,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Tahunan Institut Komunikasi Antarabangsa (IIC) ke-30, di sini hari ini.

Moggie berkata, kawalan kandungan Internet itu walaupun bukan suatu yang mustahil dapat dilakukan tetapi ia melibatkan perbelanjaan yang besar berbanding kawalan penerbitan dan pengedaran ke atas bahan-bahan bercetak.

Sehubungan itu, beliau berharap isu pewujudan badan penapisan global seperti itu dapat dibincangkan dalam persidangan tersebut memandangkan isu itu bukan saja melibatkan negara ini tetapi juga seluruh dunia.

Dalam sidang akhbar kemudiannya, Moggie berkata, peraturan kandungan itu perlu dikongsi dengan negara-negara lain bagi memudahkan pelaksanaannya.

Bagaimanapun, jelas beliau, ia mungkin sukar dilakukan memandangkan pemahaman mengenai masalah pengawalan dan tapisan kandungan Internet itu adalah berbeza di antara satu negara dengan negara lain.

''Apa yang penting, pembangunan kandungan bersifat pornografi seperti ini perlu bertanggungjawab sebelum memasukkannya ke dalam Internet dan memikirkan kesannya terhadap pengguna,'' katanya.

Ketika ditanya apakah Internet di negara ini akan ditapis, Moggie menjelaskan, kerajaan tidak akan membuat penapisan tetapi pengguna dan pembangunan perlu lebih bertanggungjawab.

Sementara itu, pada persidangan itu juga Malaysia mencadangkan agar dibentuk satu forum perundangan yang dianggotai oleh negara-negara ASEAN dan dipusatkan di Kuala Lumpur.

Moggie berkata, cadangan penubuhan forum itu penting memandangkan pembangunan dalam penyatuan industri, perubahan polisi, perundangan serta kerangka kerja institusi dari semasa ke semasa.

Katanya, forum itu diyakini dapat menjadi mekanisme yang berjaya untuk membuat perubahan dalam maklumat dalam bidang ini di antara negara-negara ASEAN.


Disclaimers and copyright information