Home | Site Map | Search | Contacts
NISER > News > Virus Baru dalam Microsoft Word ditemui

Virus Baru dalam Microsoft Word ditemui
9th September 1999 (Utusan Megabait)

Satu virus komputer baru telah dikenal pasti mampu menjangkiti fail atau dokumen Microsoft Word dan mengancam memusnahkan pemacu cakera keras komputer pada 13 Disember depan.

Bagaimanapun para pakar bersetuju Khamis lepas bahawa ancaman itu telah berjaya dielakkan kerana pengesanan awal virus tersebut daripada tersebar meluas.

Virus Thursday itu, sempena gelaran yang diberikan oleh para pakar virus, mampu memusnahkan maklumat yang tersimpan di dalam cakera keras pada komputer yang menggunakan program pemproses perkataan Microsoft Corp. Word 97.

Para pakar berkata mereka tidak pasti signifikan tarikh 13 Disember itu, yang akan jatuh pada hari Isnin tahun ini. Nama sebenar virus itu ialah W97M/Thus.A.

Beberapa syarikat anti-virus kini menawarkan program percuma yang akan mengesan dan memusnahkan virus Thursday itu (sila rujuk laman web vil.ai.com/vil/vm10278.asp).

Para penganalisis pula berkata virus terbaru itu mirip kepada virus Chernobyl yang menyerang pada April lepas.

Chernobyl menyebabkan beberapa ribu komputer di seluruh dunia menjadi tidak berfungsi, dengan bencana besar dialami di rantau Asia.

Namun begitu, pakar-pakar mercanggah pendapat mengenai risiko dijangkiti virus Thursday itu.

Pembuat perisian anti-virus, Network Associates Inc yang berpengkalan di Santa Clara, California, manarafkan virus itu sebagai risiko tinggi, hanya yang keempat diberikan taraf begitu tinggi sejak syarikat tersebut mula memberikan penilaian tahap risiko pengguna dijangkiti virus komputer.

IBM pula tidak bersetuju dengan penarafan itu.

Dengan 40,000 virus komputer yang wujud sekarang ini, ia adalah agak berisiko rendah setakat ini," kata Micheal Puldy, kata pakar virus dari unit konsultan IBM Global Services.

BIll Pollack dari Pasukan Respons Kecemasan Komputer (CERT) di Carnegie Mellon University, sebuah pusat pengesahan akademik yang menjejaki serangan terhadap sistem komputer, berkata beliau hanya mendengar berita mengenai virus Thursday ini daripada vendor anti-virus dan setakat ini masih terus menilai sebarang ancaman yang mungkin berlaku.

Virus Thursday ini akan melekatkan dirinya pada dokumen Word 97.

Ia boleh disebarkan melalui e-mel jika dokumen tersebut dihantar sebagai satu fail attachment, atau lebih jahat lagi ialah jika sebarang dokumen Word 97 dibuka di dalam sesebuah rangkaian dengan dokumen yang telah dijangkiti virus itu, kata Allison Taylor, pengurus pemasaran di Network Associates.

Anda tetap boleh dijangkiti walaupun anda tidak mempunyai perisian Word 97," kata Puldy. "Apa yang anda perlu lakukan ialah cuba melancar atau membaca fail yang terlibat," kata beliau, sambil memberikan contoh fain yang diterima menerusi e-mel, walaupun jika penerima mesej komputer itu sendiri tidak boleh melancarkan perisian Word.

IBM mula mengesan virus Thursday itu pada 16 Ogos lepas, apabila ia menarik minat syarikat pembuat perisian anti-virus, Symantec Corp yang berpengkalan di Santa Clara, California. - Reuters


Disclaimers and copyright information