Home | Site Map | Search | Contacts
NISER > News > Penapisan Internet Perlu Kerjasama Global

Penapisan Internet Perlu Kerjasama Global
12th September 1999 (Utusan Malaysia)

KERAJAAN mengalami kesukaran dalam mengawal dan menapis bahan-bahan yang disebarkan menerusi Internet kerana ia bersifat terbuka dan melibatkan kos yang tinggi, kata Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Leo Moggie.

Menurut beliau, langkah mengawal bahan-bahan khususnya yang bersifat pornografi hanya boleh dilakukan jika ada persefahaman di kalangan negara-negara lain di peringkat global.

Justeru itu, beliau menggesa agar diwujudkan satu badan penapisan di peringkat global bagi mengawal kandungan Internet memandangkan ia tidak akan berjaya jika hanya dilakukan oleh satu negara sahaja.

Moggie berkata, berbanding media elektronik, kawalan ke atas kandungan Internet dan penyiaran satelit bukan suatu yang mudah memandangkan ia lebih bersifat terbuka.

Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab penyedia perkhidmatan saluran Web dan juga pembekal perkhidmatan Internet (ISP) untuk mengawal dan menapis kandungan Internet terutama yang bersifat pornografi.

"Kerajaan mempunyai tugas untuk melindungi orang awam daripada menerima kandungan yang tidak sihat berdasarkan kepada polisi dan moral masyarakat awam.

"Bagaimanapun, untuk Internet dan penyiaran satelit, risiko terdedah kepada masalah ini berterusan dan sukar dikawal,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Tahunan Institut Komunikasi Antarabangsa (IIC) ke-30, di Kuala Lumpur Selasa lepas.

Moggie berkata, kawalan kandungan Internet itu walaupun bukan suatu yang mustahil dapat dilakukan tetapi ia melibatkan perbelanjaan yang besar berbanding kawalan penerbitan dan pengedaran ke atas bahan-bahan bercetak.

Sehubungan dengan itu, beliau berharap isu pengwujudan badan penapisan global seperti itu dapat dibincangkan dalam persidangan tersebut memandangkan isu itu bukan saja melibatkan negara ini tetapi juga seluruh dunia.

Dalam sidang akhbar kemudiannya, Moggie berkata, peraturan kandungan itu perlu dikongsi dengan negara-negara lain bagi memudahkan pelaksanaannya.

Bagaimanapun, jelas beliau, ia mungkin sukar dilakukan memandangkan pemahaman mengenai masalah pengawalan dan tapisan kandungan Internet itu adalah berbeza di antara satu negara dengan negara lain.

"Apa yang penting, pembangun kandungan bersifat pornografi seperti ini perlu bertanggungjawab sebelum memasukkannya ke dalam Internet dan memikirkan kesannya terhadap pengguna,'' katanya.

Ketika ditanya apakah Internet di negara ini akan ditapis, Moggie menjelaskan, kerajaan tidak akan membuat penapisan tetapi pengguna dan pembangun perlu lebih bertanggungjawab.

Sementara itu, pada persidangan itu juga Malaysia mencadangkan agar dibentuk satu Forum Perundangan yang dianggotai oleh negara-negara ASEAN dan dipusatkan di Kuala Lumpur.

Moggie berkata, cadangan penubuhan forum itu penting memandangkan pembangunan dalam penyatuan industri, perubahan polisi, perundangan serta kerangka kerja institusi dari masa ke semasa.

Katanya, forum itu diyakini dapat menjadi mekanisma yang berjaya untuk membuat perubahan dalam maklumat dalam bidang ini di antara negara-negara ASEAN.

Persidangan tahunan IIC yang bertemakan Mewujudkan Masyarakat Madani: Implikasi Terhadap Perdagangan, Budaya dan Komuniti' dilangsung selama tiga hari mulai 7 September hingga hari ini.

Kira-kira 200 peserta yang terdiri daripada perwakilan dari 26 buah negara menghadiri persidangan yang tertumpu kepada isu-isu berkaitan komunikasi, penyiaran dan media itu.


Disclaimers and copyright information