Home | Site Map | Search | Contacts
NISER > News > Universiti tapak ceroboh Internet

Universiti tapak ceroboh Internet
17th September 1999 (Berita Harian)

KUALA LUMPUR, Khamis - Golongan tertentu dari sebuah universiti tempatan dikenal pasti menggunakan kemudahan sistem pelayan beberapa badan tertentu, sebagai tapak melancar pelbagai kegiatan penyalahgunaan Internet.

Pihak bertanggungjawab menceroboh 38 sistem pelayan, membabitkan 18 pelayan milik institusi pendidikan, 16 milik badan kerajaan dan sembilan organisasi swasta.

Naib Presiden Pembangunan Teknologi Mimos Berhad (Mimos), Dr Mohamed Awang Lah berkata, kumpulan itu juga dipercayai menceroboh sekurang-kurangnya 30 lagi pelayan di luar negara untuk tujuan sama.

Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan sama ada kumpulan itu terdiri daripada pelajar serta nama universiti terbabit.

"Mereka adalah antara kumpulan tempatan yang bertanggungjawab terhadap 182,000 kes salah guna perkhidmatan Undernet sehingga organisasi itu mengharamkan pengguna Malaysia daripada memasuki saluran perbualan dalam Internetnya (IRC)," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Undernet mengenakan sekatan selama empat hari mulai 16 Ogos lalu terhadap pengguna Internet tempatan kerana pelbagai salah guna.

Masalah itu amat serius sehingga pelayan Undernet sendiri dicerobohi dan dikuasai selama empat hari mulai 8 September lalu.

Sementara itu, Dr Mohamed berkata, Mimos turut mengeluarkan amaran kepada 160 pengguna Jaring, membabitkan 146 pelanggan perseorangan dan 14 pelanggan korporat.

Sehingga kini Mimos hanya menerima 26 jawapan daripada mereka yang diberi amaran dan meneruskan siasatan terhadap pelanggan lain yang mungkin terbabit dengan salah guna.

"Pengguna yang terus melakukan salah guna atau gagal menjawab notis dalam masa seminggu akan digantung akaun mereka," katanya sambil menyatakan 38,323 kes daripada 182,000 kes penyalahgunaan Internet di Undernet adalah perbuatan ahli Jaring.

Sehubungan itu, Dr Mohamed menggesa pengurus teknologi maklumat di institusi pengajian tinggi tempatan dan jabatan kerajaan mengkaji semula polisi keselamatan sistem segera bagi memastikan sistem komputer dan pelayan mereka selamat daripada pencerobohan.

Katanya, semua kes pencerobohan dikesan itu menggunakan kaedah lazim yang diketahui umum dan pengurus IT maklumat, sepatutnya mampu mengambil langkah perlu bagi menangani masalah pencerobohan itu.

"Semua masalah keselamatan sistem komputer disebabkan kelemahan operasi dan pengurusan, bukan isu teknologi," katanya.

Dr Mohamed Awang turut mengingatkan pengguna perseorangan supaya melindungi komputer peribadi mereka bagi mengelakkan daripada digunakan pihak tertentu sebagai tapak pelancar salah laku Internet.

Katanya, pengguna boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada laman web www.jaring.my atau www.mycert.mimos.my.

"Kami juga ingin mengingatkan pengguna Jaring supaya sentiasa memeriksa mel elektronik Jaring mereka kerana segala maklumat dan peringatan kepada pengguna dihantar melalui sistem itu," katanya.


Disclaimers and copyright information