Home | Site Map | Search | Contacts
NISER > News > Kecuaian punca komputer diceroboh : MyCERT

Kecuaian punca komputer diceroboh : MyCERT
18th September 1999 (Berita Harian)

KUALA LUMPUR Jumaat - Sikap tidak mengendahkan keselamatan sistem rangkaian komputer oleh sebahagian besar pentadbir atau pengurus sistem rangkaian dikenal pasti sebagai punca utama pencerobohan sistem rangkaian dengan mudah berlaku di negara ini.

Menurut jurucakap Pasukan Tindakan Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT), kebanyakan pengurus atau pentadbir sistem rangkaian tidak mengemas kini atau mepertingkatkan kemampuan sistem rangkaian mereka daripada serangan penceroboh komputer.

"Mereka beranggapan selagi komputer boleh beroperasi dan tidak meragam maka ia adalah selamat tanpa menyedari sebenarnya sistem rangkaian komputer mereka sudah banyak kali dicerobohi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar semalam yang mana penyedia perkhidmatan Internet Mimos Bhd mengenal pasti golongan tertentu daripada sebuah universiti tempatan menggunakan kemudahan pelayan sebagai tapak melancar pelbagai kegiatan penyalahgunaan Internet.

Naib Presiden Pembangunan Teknologi Teknologi Mimos Bhd, Dr Mohamed Awang Lah dilaporkan berkata, kumpulan itu dipercayai menceroboh sekurang-kurangnya 30 lagi pelayan di luar negara untuk tujuan yang sama.

Mereka adalah antara kumpulan tempatan yang bertanggungjawab terhadap 182,000 kes salah guna perkhidmatan Undernet sehingga organisasi itu mengharamkan pengguna Malaysia daripada memasukki saluran perbualan dalam Internet (IRC).

Menurutnya, siasatan MyCert hasil daripada kejadian ini pengharaman Undernet ini mendapati kebanyakan sistem rangkaian komputer organisasi di negara ini amat mudah dicerobohi bukan disebabkan penceroboh itu adalah profesional tetapi kerana kecuaian pentadbir sistem rangkaian.

"Pengurus atau pentadbir sistem rangkaian perlu peka dengan isu keselamatan termasuk perkembangan teknologi dan polisi organisasi bagi memastikan penceroboh tidak dapat menceroboh dengan mudah" katanya.

Beliau berkata, seorang pengguna Internet biasa boleh menjadi penceroboh (hacker) dengan mudah jika dia mempunyai capaian, log masuk (log on) dan pelayan Telnet.

"Mereka boleh mempelajari pelbagai cara menceroboh sistem rangkaian komputer daripada maklumat yang ada dalam Internet serta mempraktikannya terus tanpa memerlukan kepakaran yang tinggi," katanya.

Beliau berkata, semua kes pencerobohan itu dikesan menggunakan kaedah lazim yang biasa digunakan penceroboh yang mana ia dapat dielakkan jika pengurus atau pentadbir sistem lebih berhati-hati.

"Masalah keselamatan sistem rangkaian kerana kelemahan operasi dan pengurusan bukannya masalah teknologi," katanya.


Disclaimers and copyright information