Home | Site Map | Search | Contacts
NISER > News > Salah Guna Internet Berpunca Dari Sikap Sambil Lewa

Salah Guna Internet Berpunca Dari Sikap Sambil Lewa
21st September 1999 (Utusan Malaysia)

SIKAP ambil mudah pihak-pihak bertanggungjawab di institusi pengajian tinggi (IPT) terhadap tahap keselamatan sistem rangkaiannya merupakan antara punca Internet miliknya sering dicerobohi untuk kegiatan penyalahgunaan Internet.

Pengarah Pusat Komputer, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Kasmiran Jumari berkata, IPT lebih mengutamakan pencapaian akademik sekali gus menafikan kepentingan tahap keselamatan sistem rangkaian masing-masing.

''Mungkin kerana pihak-pihak terbabit tidak nampak kesan daripada pencerobohan tersebut sebab itu mereka ambil mudah. ''Seperkara lagi, kita menghadapi masalah kepakaran yang tidak mencukupi di dalam hal-hal berkaitan,'' katanya.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden Pembangunan Teknologi MIMOS Berhad, Dr. Mohamed Awang Lah mengenai sistem rangkaian Internet milik IPT yang dikenal pasti sering digunakan untuk kegiatan penyalahgunaan ruang berbual Internet (IRC) oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

Sistem rangkaian tersebut tidak mempunyai tahap keselamatan yang tinggi menyebabkan ia mudah disalah guna termasuk oleh pihak luar, kata Mohamed.

Pencerobohan Internet terbahagi kepada pencerobohan secara aktif terhadap pelayan e-mel, penafian perkhidmatan yang menyerang pelayan web supaya tidak boleh diakses oleh orang lain dan 'spam mail' yang dilakukan dengan cara menggunakan pelayan tertentu contohnya UKM sebagai geganti untuk penghantaran mel yang banyak secara serentak.

Dr. Kasmiran tidak menafikan kejadian pencerobohan turut membabitkan para pelajar IPT sendiri termasuk di UKM.

Beliau juga menjelaskan bahawa kewangan tidak menjadi satu masalah yang besar bagi IPT meningkatkan tahap keselamatan yang dimaksudkan.

Bagaimanapun, katanya, kesedaran mengenainya amat diperlukan oleh semua pihak terutama 'orang atas' serta para pelajar dan tidak hanya terhad kepada pengurus sistem.

Dr. Kasmiran turut mencadangkan supaya laporan pengurus sistem diterima pakai bagi membolehkan sesuatu hukuman dikenakan terhadap penceroboh sistem rangkaian berdasarkan maklumat di fail berkuci (locked file).

''Ia sepatutnya dilakukan sebagaimana laporan yang dibuat kepada pihak polis bagi membolehkan sesuatu tindakan diambil bagi tujuan pengadilan.

''Selagi akta sedemikian rupa tidak diwujudkan, adalah sukar bagi kita untuk membendung kejadian pencerobohan sistem rangkaian,'' katanya.

Sehingga kini, pihaknya berjaya mengesan pelajar UKM yang bekerjasama dengan orang luar untuk menyalah gunakan pelayan universiti melalui fail berkunci tetapi tidak dapat berbuat apa-apa, jelasnya.

Mengulas lanjut pencerobohan di UKM sendiri, beliau mengakui sukar untuk mewujudkan keseimbangan antara memberi kemudahan bagi dimanfaatkan oleh masyarakat dengan kawalan yang ketat.

''UKM menggunakan rangkaian kawasan setempat (LAN) yang berbeza tahap kawalannya antara satu sama lain.

''Bagi sistem maklumat UKM kita tidak menghadapi masalah kerana menggunakan dinding api (firewall) sebagai sistem kawalan,'' katanya.

Tetapi katanya, bagi pelayan web yang dibuka kepada orang ramai untuk dimanfaatkan bersama, ada yang mengambil kesempatan dengan menyalah-gunakannya.

Tambahnya, penceroboh menganggap aktiviti berkaitan sebagai sesuatu yang mencabar sehingga ada yang sanggup berjaga sehingga pukul lima pagi.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan para pelajar supaya menggunakan kepakaran yang dimiliki bagi tujuan kebaikan sahaja. ''Ada penceroboh yang menyifatkan aktiviti terbabit boleh menajamkan fikiran di samping menimba pengetahuan mendalam tentang sistem rangkaian.

''Tetapi lebih baik kiranya mahu menggunakan Internet dan mendapatinya tergendala serta memerlukan pengoperasian semula, mereka maklumkannya kepada pengurus sistem dengan segera,'' katanya.

''Ataupun, kepakaran tersebut digunakan pada tempatnya seperti menyedari sebarang kejadian pencerobohan ketika menggunakan Internet,'' katanya.

Tindakan sedemikian, jelasnya, amat membantu dari segi mengelakkan kebocoran maklumat khususnya berkaitan keselamatan negara.


Disclaimers and copyright information