Home | Site Map | Search | Contacts
NISER > News > Hentikan Judi di Cyber Cafe - KPN

Hentikan Judi di Cyber Cafe - KPN
22nd January 2000 (Utusan Online)

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai memberi amaran kepada pemilik dan pengusaha kafe siber di seluruh negara supaya menghentikan kegiatan perjudian di premis mereka atau dikenakan tindakan di bawah Akta Kediaman Terhad.

Beliau berkata, polis mengesan 23 kafe siber di ibu negara yang menjalankan kegiatan judi haram di premis mereka.

Tegasnya, kegiatan itu perlu segera disekat kerana kafe siber sepatutnya mendatangkan faedah kepada orang ramai bukan tempat perjudian haram.

''Kita akan kemukakan cadangan ini kepada kerajaan kerana sekatan terhadap kemudahan teknologi maklumat seperti ini akan juga dipersoalkan oleh masyarakat umum. Tindakan mengambil masa kerana perlukan pemerhatian, fail kes dan kuasa Menteri Dalam Negeri untuk keluarkan perintah (tahanan terhad),'' katanya pada sidang akhbar selepas melawat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Sementara itu, Norian berkata, polis Kuala Lumpur meningkatkan sasaran penyelesaian kes jenayah 25 peratus tahun ini.

Katanya, ini berikutan kejayaan menyelesaikan 33 peratus kes jenayah di ibu negara tahun lalu berbanding 20 peratus sasaran yang ditetapkan.

Menurut beliau, sepanjang tahun lalu polis menahan 717 wanita asing yang terlibat dalam kegiatan maksiat di ibu negara.

''Majoriti mereka ialah dari Indonesia, Thailand, China dan Uzbekistan dan telah diambil tindakan dan juga dihantar pulang ke negara masing-masing.

''Kita juga anggap kes ini didalangi oleh sindiket tertentu kerana kita menahan 28 orang yang memasuki semula negara ini setelah dua atau tiga bulan dihalau pulang,'' jelasnya.

Norian berkata, polis juga merampas 5,000 mesin judi haram di ibu negara sepanjang tahun lalu.

Pemilik mesin terbabit didakwa di mahkamah dan dikenakan denda tinggi.

Mengenai rungutan orang ramai yang sukar melihat kehadiran polis di ibu kota, Norian

berkata, pihaknya akan membina pos kecil polis di kawasan tumpuan pelancong di ibu negara untuk membolehkan orang ramai mendapatkan pertolongan segera jika diperlukan.

''Contohnya ialah di kawasan Segitiga Emas dan Ketua Polis Kuala Lumpur akan diwujudkan seberapa segera,'' jelasnya.

Hadir sama ialah Pengarah Siasatan Jenayah, Datuk Yaacob Md. Amin dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Kamaruddin Md. Ali.


Disclaimers and copyright information