Home | Site Map | Search | Contacts
NISER > News > Badan Kawal Rahsia Kerajaan Dibentuk

Badan Kawal Rahsia Kerajaan Dibentuk
19th April 2000 (Utusan Malaysia)

PUTRAJAYA 18 April - Sebuah jawatankuasa bersama di bawah Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan akan dibentuk untuk membendung kegiatan pencerobohan dan pendedahan maklumat rahsia kerajaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Giluk Dompok hari ini.

"Jawatankuasa itu akan meneliti undang-undang, peraturan-peraturan serta kuasa-kuasa di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 agar kegiatan berkenaan tidak lagi berleluasa," katanya sewaktu merasmikan Seminar dan Pameran Keselamatan Era Milenium di Putrajaya.

Seminar sehari itu antara lain akan membincangkan peranan bidang keselamatan dalam era teknologi maklumat. Ia bertujuan memberi pendedahan melalui perancangan strategi kawalan keselamatan bagi organisasi keselamatan swasta, awam dan kerajaan untuk seiring menghadapi isu-isu keselamatan yang sentiasa berubah-ubah.

Ketika bercakap pada sidang media selepas merasmikan seminar itu, beliau berkata jawatankuasa itu patut ditubuhkan untuk menyekat pencerobohan maklumat rahsia kerajaan pada peringkat permulaan.

"Kita mahu menjaga nama baik negara di mata para pelabur antarabangsa untuk memulihkan semula keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap sistem pentadbiran negara," katanya.

Dompok berkata, jawatankuasa itu akan bertanggungjawab untuk mengkaji keperluan kerajaan menggubal satu lagi undang-undang ataupun memberi kuasa kepada pegawai kerajaan dan juga kerajaan, mengawasi keselamatan negara ini melalui undang-undang yang sedia ada.

"Pada umumnya, jawatankuasa itu akan mengkaji langkah -langkah yang patut diambil untuk meningkatkan tahap keselamatan negara serta juga untuk mengkaji cara-cara untuk menerapkan ciri-ciri ini di seluruh negara," katanya.

Jawatankuasa itu, katanya, akan diketuai Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia Wan Mohamed Safian Wan Hasan.

Wan Mohamed Safian berkata, jawatankuasa itu akan ditubuhkan di bawah jabatannya serta-merta.

"Keputusan kajian (jawatankuasa) itu dijangka akan dapat diserahkan kepada menteri dalam jangka masa dua atau tiga bulan lagi," katanya. -


Disclaimers and copyright information