Home | Site Map | Search | Contacts
NISER > News > Virus pertama jangkiti Windows dan Linux

Virus pertama jangkiti Windows dan Linux
9th April 2001 (Utusan Malaysia)

Satu virus komputer yang mampu menjangkiti komputer peribadi (PC) yang dipasangkan dengan sistem operasi Windows atau Linux telah dikesan baru-baru ini, yang didakwa sebagai yang pertama di dunia.

Virus berkenaan, digelar ``W32. Winux'' oleh syarikat yang pertama melaporkannya, syarikat anti virus Central Command, tidak bersifat pemusnah dan setakat ini belum menjangkiti sebarang komputer.

Namun begitu, kemunculan virus itu tetap dianggap sebagai trend membimbangkan.

``Kami tidak fikir ia boleh berlaku,'' kata Keith Peer, presiden dan ketua eksekutif Central Command di Medina, Ohio. ``Ia adalah satu langkah ke depan bagi pencipta virus.''

Satu lagi pembuat perisian anti virus, McAfee.com Corp., berkata ia belum melihat virus itu dan tidak dapat mengesahkan laporan mengenai W32.Winux itu.

Virus W32.Winux tersebar dengan menjangkiti program-program executable yang menjadi asas kepada versi Microsoft Windows terbaru - termasuk Windows 95, 98, Me, NT dan 2000 - atau pelbagai versi Linux, sebuah sistem operasi percuma yang semakin diminati oleh penggemar teknologi dan perniagaan.

Pengguna boleh melancarkan virus dormant itu dengan sama ada dwi-klik program atau lampiran e-mel yang dijangkiti. Setelah ia diaktifkan, virus tersebut secara automatik akan mencari semua aplikasi Windows atau Linux yang bersaiz minimum 100 kilobait, yang kemudiannya ia akan jangkiti.

Central Command, yang pertama kali menerima virus itu daripada e-mel tanpa nama (anonymous) dari Czech Republic, berkata penulis virus tersebut yang menggunakan nama Benny mendakwa mengenali kumpulan penulis virus dipanggil 29A, sebagai pencipta virus tersebut.

Benny dan 29A telah dikenal pasti sebagai dalang di sebalik beberapa serangan virus lain sebelum ini yang disifatkan sebagai inovatif dari sudut teknikal, walaupun bersifat tidak begitu memusnahkan.

Pada hujung tahun 1999, satu virus yang menyamar sebagai pembetulan untuk Pepijat ALaf (Millennium Bug) telah menyelusuri Internet.

Kumpulan 29A mendakwa mencipta virus berkenaan, dan satu virus lain dipanggil ``Stream'' yang disifatkan oleh pakar-pakar sebagai pintar menyamarkan diri dari dikesan oleh perisian anti virus.

Virus W32.Winux ditulis dalam bahasa komputer primitif dipanggil assembly language, yang membolehkannya menjangkiti program-program Windows atau Linux, kata Peer.

Semua ini berlaku berikutan dengan lonjakan populariti Linux dan peningkatan jumlah pengguna PC yang memasang Windows dan Linux pada komputer yang sama.

Walaupun keupayaan untuk beralih antara sistem operasi berlainan, W32. Winux bukanlah satu virus yang boleh tersebar dengan cepat.

Menurut Peer, virus tersebut hanya mampu tersebar pada PC menggunakan cip pemproses Intel Pentium, sekali gus tidak akan menyerang komputer pelayan asas Linux yang menggunakan cip lain.

Dan berbeza dengan virus jenis ulat seperti Melissa atau Love Letter, W32.Winux tidak secara automatik menghantar dirinya sendiri kepada pengguna Internet lain di seluruh dunia.

Walaupun wujud beribu-ribu virus menyelusuri Internet dan komputer Windows di seluruh dunia, tidak banyak virus menyerang Linux - tidak lebih daripada 50 sahaja, kata Peer, yang menjuruskan tidak banyak pencipta virus yang menyasarkan sistem operasi Linux.

Central Command berkata ia telah membangunkan pembetulan bagi virus tersebut pada tapak Web (http://www.avx.com). - Reuters


Disclaimers and copyright information