Home | Site Map | Search | Contacts
NISER > News > Kod kandungan atasi salah guna Internet

Kod kandungan atasi salah guna Internet
By Khairul Anuar Samad
Berita Harian (5th June 2001)

Satu kod kandungan akan digubal dalam usaha mengatasi penyalahgunaan Internet bagi membolehkan pengendali laman web bertanggungjawab terhadap apa yang ditulis atau dihasilkan. Dengan penghasilan kod itu nanti, kerajaan tetap memberi jaminan bahawa ia tidak akan bertindak menapis kandungan Internet sebagaimana syarat dalam Seksyen 3 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Timbalan Menteri, Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, Chia Kwang Chye berkata, pengenalan kod itu tetap mengutamakan kepentingan Internet kepada pengguna.

Kerajaan bukannya hendak membuat pindaan atau membentuk satu undang-undang baru tetapi ingin menghasilkan satu kod kandungan mantap yang bakal memanfaatkan pelbagai pihak nanti, katanya.

Beliau berkata demikian apabila diminta pandangan daripada pelbagai pihak yang meminta kerajaan bertindak mengembangkan Akta Penerbitan dan Percetakan dengan turut merangkumi bahan pada laman Internet.

Memandangkan tidak terdapat sebarang pihak yang mempunyai kuasa pada ruang siber, beberapa pihak dikatakan mengambil kesempatan Internet untuk menghasut dan menimbulkan perbalahan di kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Chia berkata, kerajaan sedang membuat penilaian terhadap undang-undang siber yang sedia ada di negara ini untuk mengatasi penyalahgunaan Internet oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, kini pihak berkenaan menjadikan Internet sebagai platform untuk menyebarkan pelbagai fitnah dan berita palsu, mengendalikan urus niaga haram dan menyebarkan bahan pornografi.

Untuk menghasilkan satu perundangan yang mantap, kerajaan sedang membuat kajian terhadap undang-undang siber di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, China dan Singapura, katanya.

Chia berkata, kod yang dicadangkan nanti itu mungkin seakan-akan sama kepada yang diperkenalkan oleh Singapura pada Akta Pihak Berkuasa Penyiaran negara itu pada 1996 yang memerlukan semua penyedia kandungan dan perkhidmatan Internet mempunyai lesen kelas Pihak Berkuasa Singapura (SBA).

Dengan kod kandungan itu, semua pihak dalam industri ini kena mematuhinya yang mana ia dijangka sesuai dengan sistem nilai negara, katanya.

Kod itu katanya, dijangka merangkumi garis panduan asas mengenai keperluan untuk mengambil kira isu sensitif dan kepentingan bangsa dan agama masyarakat Malaysia.

Apabila kod ini sudah sedia, penyedia perkhidmatan aplikasi harus memohon kepada lesen pendaftaran daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta membayar lesennya yang dianggarkan bernilai RM2,500, katanya.

Inisiatif untuk memperkenalkan kod itu juga berasaskan kepada kebimbangan terhadap isu keselamatan negara yang mana Internet mungkin disalahgunakan sebagai pelantar bagi melancarkan perang siber.

Berdasarkan kepada isu ini, kerajaan berusaha menghasilkan kod ini, katanya.


Disclaimers and copyright information